Titah baginda, pendidikan dapat membuka peluang serta jaminan masa hadapan yang lebih cerah kepada diri sendiri dan keluarga.

Dalam masa sama, baginda juga berharap golongan pelajar ini sentiasa berazam untuk meningkatkan kualiti diri bagi menjamin masa depan, memandangkan kehendak semasa nyata hanya memberi peluang kepada pelajar terbaik dan cemerlang sahaja untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi termasuklah di universiti.

“Dalam dunia hari ini, masyarakat melihat pelajar yang cemerlang sebagai kunci kepada pembentukan ketamadunan negara dan sebuah bangsa yang unggul.

“Para pelajar perlulah bangun daripada lena yang mengasyikkan atau terleka oleh dunia hiburan tanpa sempadan yang melalaikan seterusnya gagal membentuk individu menjadi modal insan yang berharga kepada agama, keluarga, masyarakat, bangsa, negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Rumah Kanak-kanak (RKK), Arau pada Program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Nurul Iman, Kurong Batang di sini hari ini.

Sumbangan berjumlah RM22,400 itu diserahkan sendiri oleh baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs kepada Pengetua RKK Arau, Anies Suzana Azhan.

Sumbangan tersebut adalah bagi membolehkan RKK Arau menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menerima zakat pendapatan daripada Bank Muamalat berjumlah RM143,669 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. - UTUSAN ONLINE