Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail bertitah, KUIPs selaku institusi pengajian yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu melahirkan ilmuwan dalam perbankan Islam.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, biasiswa berkenaan turut merangkumi yuran tuisyen, kos penginapan dan elaun makan.

“Calon yang layak mestilah memulakan pengajian dalam tiga tahun yang meliputi jurusan yang ditawarkan KUIPs,” titah baginda selepas menye­rahkan sumbangan kecil MAIPs kepada masjid yang terletak di Pusat Kebudayaan Islam Warsaw, Poland baru-baru ini.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengetuai delegasi lawatan kerja Jelajah Ilmu Unimap, singgah di masjid berkenaan ketika di Poland.

Keberangkatan tiba baginda disambut Imam masjid terkemuka itu, Nezar Charif yang menerima sumbangan tersebut dan juga Penyelaras Kebudayaan dan Pendidikan di kompleks berkaitan iaitu Mahmoud Kassem.

Yang turut berangkat anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Poland, Chitra Devi Ramiah dan Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap menambah, pendidikan merupakan salah satu elemen paling mustahak dalam kehidupan setiap individu.

“Secara tidak langsung, ini menunjukkan bahawa setiap manusia berhak mendapat pendidikan tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang keluarga dan sebagainya,” titah baginda.