Rata-rata penduduk di situ hidup sekadar cukup makan, jika ada hasil lebih ketika turun ke laut menangkap ikan, adalah pendapatan bagi menampung kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun, jika keadaan berlaku sebaliknya khususnya ketika musim hujan atau air cetek di kawasan itu mereka tidak mampu berbuat apa-apa selain berharap situasi berkenaan tidak berterusan.

Di dalam tempoh mereka tidak dapat turun ke laut, inisia­tif bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan yang diterima selama inilah diakui banyak membantu golongan tersebut.

Justeru, rata-rata nelayan yang ditemui di sini baru-baru ini berharap agar kerajaan Pakatan Harapan dapat meneruskan bantuan tersebut selain memberi fokus kepada golo­ngan ini.

Nelayan, Salim Mohamad, 54, berkata, bantuan sara hidup dan subsidi minyak yang diterima selama ini banyak membantu nelayan yang sudah pastinya bukan setiap hari dapat turun ke laut.

Katanya, pada masa ini, mereka masih menerima bantuan tersebut namun bermula Januari depan tidak pasti sama ada inisiatif itu masih diteruskan atau sebaliknya.

“Tidak salah jika benda baik yang dilakukan oleh kerajaan dahulu diteruskan oleh kerajaan hari ini. Jika tidak dapat memberi bantuan penuh, separuh pun kami terima.

“Apa yang penting, bantuan seperti itu dapat diteruskan memandangkan golongan nelayan ini bukan terdiri daripada mereka yang senang,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Rakannya, Mansor Pin, 58, turut berharap agar inisiatif yang diberikan oleh kerajaan terdahulu diteruskan kerana banyak membantu golongan sepertinya.

“Saya harap kerajaan dapat memberi fokus kepada golo­ngan nelayan ini dengan bantuan secara lebih bersasar. Dalam belanjawan baru-baru ini, tidak nampak pula manfaat kepada nelayan dan juga pekebun kecil lain,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Hidayat Dahari, 29, pula berkata, jika kerajaan tidak dapat meneruskan bantuan sara hidup bulanan sebanyak RM300 itu, dia berharap akan ada kaedah lain lebih baik bagi membantu golongan nelayan.