Menurut Pengarahnya, Mohammad Hazam Ismail, kesemua mereka yang berusia antara 18 sehingga 21 tahun itu diarah mahkamah supaya menjalani hukuman tersebut di rumah-rumah orang tua.

Kata beliau, mereka yang terlibat perlu mengikut program disediakan oleh agensi berkenaan dalam tempoh masa tidak melebihi 240 jam.

“PKM adalah hukuman alternatif kepada pemenjaraan, bertujuan memberi pemulihan, mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan jenayah sama pada masa depan.

“Ia juga bertujuan mengintegrasi golongan sasar kepada masyarakat dan sekali gus memberi manfaat kepada umum melalui hukuman, pemulihan dan penginsafan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Mohammad Hazam, selain daripada itu, seramai 180 orang di negeri ini telah selesai mengikuti aktiviti dan program jangka pendek oleh Unit PKM pada Mac dan April lalu.

Katanya, ia melibatkan seramai 100 orang di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Kangar pada 1-3 Mac diikuti Pusat Aktiviti Warga Emas, Jejawi dekat sini yang melibatkan 80 orang pada 6 April lalu.

“Pada sepanjang tahun lepas, seramai 490 orang telah terlibat dalam aktiviti dan program oleh Unit PKM yang antaranya adalah di masjid, pusat aktiviti kanak-kanak, kem Biro Tata Negara (BTN) dan rumah anak-anak yatim,” katanya.

Mohammad Hazam seterusnya memberitahu, antara pengisian dilakukan mereka yang terlibat adalah pemuliharaan bangunan dan kawasan, penyelenggaraan landskap, taman permainan, surau dan padang, pembaikan kecil serta pengurusan diri penghuni.

Untuk rekod, kos setiap pesalah PKM adalah lebih murah iaitu RM7.30 sehari berbanding jika dipenjarakan yang menelan belanja sebanyak RM41.10 sehari. - UTUSAN ONLINE