Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah untuk membina sebuah negeri yang memiliki unsur kerohanian yang tinggi dan pada masa sama, bergerak maju ke hadapan dalam pembangunan diri dan kebendaan.

“Dalam hal ini, zikir menjadi salah satu daripada elemen yang penting dalam pembangunan kerohanian.

“Semoga kita akan terus menghidupkan amalan berzikir serta mendalami ilmu yang menjadi tuntutan dalam Islam demi pembangunan ummah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Majlis Taujihat Dan Penyerahan Bingkai Zikir Selepas Solat serta Garis Panduan Pengurusan Masjid Negeri 2017 di Hotel Putra Regency di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMK) Agama Islam dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Khairi Hassan.

Pada kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan para imam di negeri ini agar sentiasa patuh dengan segala arahan MAIPs, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah tugas yang diberikan.

Selain itu, titah baginda, memastikan pengamalan ibadah masing-masing adalah selari dengan garis panduan pengurusan masjid yang telah ditetapkan oleh MAIPs.

Baginda turut menyeru para imam untuk menambahkan lagi ilmu supaya berpengetahuan luas serta tahu bahawa segala ibadah yang dipraktikkan bukanlah di atas ikutan semata-mata tetapi didasari ilmu dan pengetahuan yang benar.

Terdahulu, turut diadakan di majlis tersebut ialah penerangan zikir selepas solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir Sahak dan Taujihat Mufti oleh Mohd. Asri. - UTUSAN ONLINE