kualiti
 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelanggan kini lebih terdidik dan mereka mengkehendaki perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan yakni ‘customer oriented’.

"Bagi memahami denyut nadi masyarakat ini, penilaian impak perlu sentiasa dijalankan bagi meneliti jurang penyampaian dalam perkhidmatan," titah baginda.

Demikian titah Raja Muda ketika berkenan menyempurnakan majlis penandatanganan ‘Kaedah - Kaedah Peguam Syarie 1995’ (Kaedah 13) - Sijil Peguam Syarie No. Siri Pendaftaran: 074/2019 yang diadakan di Bilik Kuning Istana Arau petang semalam

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis turut menambah bahawa sekiranya sasaran penyampaian perkhidmatan sesebuah organisasi itu telah berjaya dicapai, maka usaha penambahbaikan haruslah dilaksanakan dari masa ke semasa bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan organisasi berkenaan.

Penambahbaikan secara berterusan terhadap perkhidmatan sedia ada dan penawaran perkhidmatan baharu wajar dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa bersifat cekap, tepat, berkualiti, proaktif dan responsif.

Dalam perkembangan lain petang tadi pula, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 19 bagi tahun 2019’ yang diadakan di Masjid Al Kauthar, Kampung Paya, Beseri, Padang Besar. Turut diadakan ialah ‘Ceramah Hijrah Minda oleh AADK’ dan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut dan juga yang berdekatan.