Namun jangan terkejut apabila pekerjaan itu juga dilakukan oleh seorang wanita dari Kampung Abi Padang Machang di sini yang melakukan kerja memotong rumput itu sejak 20 tahun lalu bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

Meskipun usia Aishah Isa kini hampir mencecah 70 tahun, namun kudrat warga emas itu masih kuat dan tidak kekok menggalas mesin rumput ketika mengambil upah melakukan kerja tersebut di seluruh negeri ini.

Walaupun sering ‘diperlekehkan’ kerana melakukan kerja lelaki, namun Aishah tidak kisah selagi pendapatan yang diperolehi hasil keringatnya itu adalah halal.

Ibu kepada tiga anak yang berusia antara 30 sehingga 40 tahun itu berkata, dia mengambil upah memotong rumput khususnya di kawasan-kawasan bendang, tanah perkuburan, kebun serta rumah pelanggan.

Dia menerima upah antara RM120 sehingga RM200, iaitu bergantung kepada keluasan sesuatu kawasan.

“Alhamdulilah hasil pendapatan memotong rumput ini saya mampu membantu menambah pendapatan suami yang mengusahakan tanaman padi. Di usia yang hampir mencecah 70 tahun ini, saya masih kuat melakukan kerja-kerja ini.

“Saya tidak kisah apa tanggapan orang kerana apa yang dilakukan saya itu adalah tidak salah meskipun kelihatan agak janggal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika ditemui wartawan, Aishah sedang melakukan tugas-tugas memotong rumput di kawasan Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (Matin) di sini.

Meskipun dalam keadaan cuaca panas, warga emas itu masih bertenaga menyempurnakan tugasnya itu sehingga selesai.

Bagi penduduk di kawasan berkenaan, warga emas itu sememangnya dikenali sebagai si pemotong rumput wanita.- UTUSAN ONLINE