Beliau berkata, seharusnya seseorang yang mempunyai tahap ilmu agama yang tinggi sentiasa bersikap lemah-lembut terhadap semua orang seperti mana dianjurkan oleh Nabi Muhamad SAW ketika berdakwah.

Beliau walau bagaimanapun tidak merujuk kepada sesiapa mahu pun sebarang insiden.

“Saya nasihatkan secara umum agar orang agama bersikaplah lemah-lembut. Saya sedar bahawa untuk berdakwah mempunyai banyak cabaran tetapi kenalah berhati-hati dalam tutur kata termasuklah semasa di laman-laman sosial,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, kereta Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin hampir musnah setelah disyaki dibakar oleh dua suspek menggunakan botol berisi petrol semasa kenderaan itu diletakkan di kediaman beliau di Persiaran Wawasan di sini.

Pada September lepas, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs), Dr. Hazman Hassan cedera parah di bahagian muka akibat ditetak dengan senjata tajam dipercayai pedang oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Jalan Kampung Guru di sini.

Polis menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan samun ekoran tiada barang berharga yang dilaporkan hilang.

Baru-baru ini, negeri ini dikejutkan dengan berita pemecatan seramai 25 orang imam manakala 10 orang lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa sebab.

Dalam pada itu, Noor Mushar memberitahu, pihaknya sedang memburu dua suspek yang bertanggungjawab membakar kereta rasmi Mohd. Asri dan yakin dapat menangkapnya dalam masa terdekat.

“Kita percaya kedua-duanya sedang menyembunyikan diri dan tidak menolak kemungkinan mereka melarikan diri di luar Perlis,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, beliau percaya kejadian itu adalah ekoran rasa tidak puas hati suspek terhadap Mohd. Asri berikutan isu-isu panas membabitkannya kebelakangan ini.

Katanya, pihaknya tidak bercadang untuk menempatkan anggota polis di rumah Mohd. Asri buat masa ini tetapi akan sentiasa memantau keselamatannya dari semasa ke semasa. - UTUSAN ONLINE