Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, hal demikian kerana, status hak pemilikan tanah di kampung berkenaan adalah milik persendirian dan pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan.

Katanya, sebaik-sebaiknya perkara tersebut perlu diselesaikan secara baik membabitkan penduduk dan pemilik tanah itu.

“Sebenarnya tanah terbabit sudah diberikan hak miliknya kepada individu terbabit sejak lama dahulu dan ada kemungkinan penduduk kampung tidak mengetahuinya, malah ia tidak boleh dipindah milik kepada orang lain sesuka hati.

“Sebelum ini, pihak kerajaan negeri sudah turun bertemu dengan pemimpin tempatan di situ, malah saya juga pernah ke sana (kampung itu) untuk menerangkan situasi sebenar kepada mereka.

“Jadi saya berpendapat bahawa kedua-dua pihak perlu bersemuka dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik daripada memperbesarkan isu ini kerana tanah terbabit bukan milik mereka,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan nasib kira-kira 15 buah keluarga di Kampung Seri Kesinai, Padang Besar yang bakal diusir keluar daripada kawasan yang didiami sejak 50 tahun lalu itu.

Rumah di kawasan berkenaan yang dibina sejak 1970-an, difahamkan dibangunkan di atas tanah kerajaan, sehinggalah ada seorang individu datang memaklumkan bahawa kawasan seluas 1.4 hektar itu adalah miliknya iaitu pada 2005.

Pada tahun lalu, individu ber­kenaan membawa isu itu ke mahkamah dan keputusannya, mereka perlu mengosongkan rumah di kawasan tersebut bermula bulan ini sehingga Jun depan.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, terdapat pihak ketiga yang dilihat cuba memperbesar-besarkan isu berkenaan dengan berjanji untuk menyelesaikan masalah terbabit.

“Mereka (pihak ketiga) ini cuba menjadi wira dengan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan masalah terbabit demi kepentingan tertentu.

“Ini kerana kita sudah tahu bahawa tanah ini sudah dimiliki dan bertuan, jalan penyelesaian terbaik ialah penduduk perlu bersemuka dengan tuan tanah bagi mencari penyelesaian secara bersama,” katanya.- UTUSAN ONLINE