Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, ba­gai­manapun perkara itu tertakluk kepada keputusan Kerajaan Pu­sat yang sebelum ini telah pun meluluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, setakat ini terdapat beberapa pihak swasta yang berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan projek-projek berkenaan yang pada masa ini telah ditangguhkan sementara oleh Kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri sedang me­lihat kaedah terbaik untuk memastikan perancangan induk yang dirancang demi pemba­ngunan kepada rakyat Perlis, tidak terjejas.

“Kita tidak boleh bergantung (peruntukan) kepada kerajaan semata-mata sebaliknya perlulah kreatif mencari alternatif lain,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Dewan Wa­risan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan barisan ahli Majlis Mesyua­rat Kerajaan Negeri.

Pada majlis tersebut, Azlan turut melancarkan Kempen Mengibar Jalur Gemilang.

Mengulas lanjut Azlan berkata, pi­hak swasta yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri membangunkan projek-projek berimpak tinggi di sini pada masa ini, sedang melihat model perniagaan yang boleh dijalankan.

“Kerajaan negeri akan membuat sedikit pengubahsuaian ke­pada projek-projek ini bagi memastikan kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan swasta) mendapat keuntungan,” jelas­nya.

Dalam pada itu, Azlan memberitahu, pihak kerajaan negeri juga sedang melaksanakan beberapa langkah berjimat cermat yang antaranya tidak lagi menyumbang lembu-lembu untuk tujuan ibadah korban pada tahun ini.

“Setiap tahun, kos untuk lembu-lembu ini meningkat. Pada tahun lepas kosnya seba­nyak RM900,000 dan pada tahun ini, jika dilaksanakan berjumlah lebih RM1 juta.

“Maka sebab itu, kerajaan negeri mengambil keputusan tidak lagi menyumbang lembu-lembu, sebaliknya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembangunan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, langkah pen­jimatan berkenaan tidak ter­masuk pemotongan gaji kakita­ngan awam di negeri ini ke­rana masih di bawah kemam­puan kerajaan negeri.