Bekas Pengerusi Pertubuhan Peladang kawasan Simpang Empat, Arof Saad berkata, dalam masa sama, kerajaan juga perlu mengekalkan atau meningkatkan pemberian subsidi kepada golongan ini khususnya apabila mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi membeli input pertanian dan menyewa jentera.


Katanya, meskipun kehidupan petani didapati tidak banyak berubah namun ketika zaman kerajaan dahulu mereka 
menikmati lebih banyak inisiatif serta bantuan berbanding sekarang dan ia sepatutnya diberikan perhatian oleh pemerintah pada hari ini.


“Kerajaan perlu memainkan peranan lebih efektif bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Selain itu, pemberian subsidi juga perlu dipertingkatkan kepada golongan ini.


“Kos input pertanian dan jentera ketika proses mengambil padi bukannya murah dan saya cadang perkara itu juga perlu diberikan perhatian. Mungkin boleh cari mekanisme untuk meringankan kos para petani ini ketika menyewa jentera berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengakui tiada perubahan ketara berlaku kepada taraf hidup golongan petani, pesawah, nelayan dan penternak di negara ini.


Walaupun telah banyak subsidi dan bantuan yang diberikan, Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, golongan itu masih tidak berjaya mengeluarkan diri mereka daripada kumpulan ekonomi B40.


Sementara itu, seorang pesawah, Zamzuri Ishak berkata, taraf kehidupan para petani sememangnya tidak nampak banyak perubahan sebaliknya harga barangan input pertanian yang semakin membebankan kelompok itu.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, kos input pertanian seperti racun dan baja semakin mahal dan perkara itu perlu diberikan perhatian serius.


Dalam masa sama katanya, bantuan kepada petani juga perlu diteruskan kerana peruntukan itu sekurang-kurangnya boleh membantu meringankan beban mereka khususnya ketika bukan musim menanam padi.


“Sekarang semua naik, barangan input pertanian naik, upah memajak, ambil padi juga meningkat. Ia juga antara faktor menyumbang kepada kesusahan golongan ini.


“Saya harap kerajaan dapat memberi perhatian mengenai masalah ini dan mencari jalan terbaik membantu golongan ini merubah taraf kehidupan mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE