Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat Hassan berkata, jumlah premis makanan tahap Gred A dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada 33.5 peratus berbanding tempoh sama tahun 2014 hanya 24 peratus sahaja.

Beliau berkata, perkara itu sekali gus membuktikan pengusaha dan pengendali makanan kini semakin patuh dalam menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk pengguna.

“Pencapaian ini berkaitan dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 yang lebih aktif dijalankan ke sata setiap premis makanan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Arau di sini baru-baru ini.

Mat berkata, jumlah premis Gred B juga meningkat dari Januari hingga Mei lalu apabila naik kepada 62 peratus berbanding tempoh masa sama tahun lalu hanya 58.7 peratus.

“Cuma tahap kebersihan di premis makanan Gred C didapati menurun kepada 4.9 peratus dari Januari hingga Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu 15.9 peratus,” katanya.

Beliau memberitahu, dari Januari hingga Mei lalu sebanyak 163 notis dikeluarkan ke atas pengusaha dan pengendali makanan.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 124 kompaun telah dijelaskan manakala 39 belum menjelaskannya berbanding tahun lalu sebanyak 107 sahaja kompaun dijelaskan dan 38 masih gagal membayarnya.

“Sehingga kini sebanyak RM18, 450 nilai kompaun yang telah dibayar berbanding tahun lalu hanya RM14, 950 sahaja,” katanya.

Mat berkata, dari Januari hingga Mei ini sebanyak 33 kes yang melibatkan pengusaha dan pengendali makanan telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan perundangan di bawah PPKM 2009.

Katanya, sehingga kini sebanyak 18 kes sudah selesai di mana 17 kes dikenakan hukuman denda yang kesemuanya berjumlah RM6,300 manakala satu lagi kes diberikan amaran.

Tambahnya berbanding dengan tahun lalu, sebanyak 11 kes dikenakan hukuman denda berjumlah RM7,000 selepas diputuskan mahkamah.