Titah baginda, sikap mengambil mudah ibu bapa terhadap kepentingan pelajaran anak-anak, menjadikan masalah keciciran dan ponteng sekolah lebih sukar di atasi.


“Jika mempunyai masalah sedemikian, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan untuk segera mendapatkan khidmat nasihat daripada pengetua, guru besar atau kaunselor di sekolah masing-masing,” titah baginda.


Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan Op Sifar Cicir 2019 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dan SK Behor Empiang, semalam.


Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Jabatan Pendidikan negeri (JPN) itu diadakan di Masjid Al Muqorobin, Behor Empiang di sini.


Ia disekalikan dengan Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-2 bagi 2019.


Pada majlis itu, seramai 250 orang asnaf terpilih daripada kalangan ibu bapa pelajar tiga buah sekolah berkenaan, yang disenarai pendek oleh pihak JPN menerima sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM600 setiap seorang.


Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut meminta kerjasama pemimpin dan masyarakat setempat supaya mengambil peduli orang sekeliling agar tidak berlaku masalah keciciran pelajar dan ponteng sekolah.


Bersempena program itu, syarikat Ummul meraikan semua yang hadir dengan menyumbangkan sebiji kek bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Syed Faizuddin Putra Ke-51 pada 30 Disember lalu.


Sempena kayuhan tersebut juga, baginda dan para peserta meluangkan masa singgah di bangunan wakaf MAIPs pusat perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang kini sudah mencapai tahap 21 peratus pembangunannya dan dijadualkan mula beroperasi sebelum suku kedua tahun hadapan. - UTUSAN ONLINE