Titah baginda, institusi keluarga yang longgar dan goyah akan mudah menyebabkan anak-anak berasa dirinya tidak dihargai serta bertindak agresif, malah berbangga dengan perilaku tidak bermoral semata-mata untuk menarik perhatian ibu bapa.

“Sekiranya tidak dibendung dari awal, sudah pasti akan menyumbang kepada masalah yang lebih besar,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis peringkat SMK Dato Ali Ahmad, SK Panggau dan SK Titi Tok Bandar yang diadakan di Masjid Al Ala, Behor Temak kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Perlis, Zainodin Ahmad.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Majlis tersebut disekalikan dengan program kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan Ke-10 bagi tahun 2019 yang melibatkan penyertaan 250 asnaf terpilih menerima sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 setiap seorang.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, gejala sosial semakin hari semakin membimbangkan kerana kes juvana seperti buli, merompak, membuang bayi dan pelbagai jenayah berkaitan najis dadah difahamkan kini turut dilakukan golongan remaja.

Di akhir program, baginda turut berkenan singgah merasmikan Projek Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs berupa bengkel motor Perniagaan AWR JR Maju Enterprise milik Noor Amirulhidayat Azman (018-3704439) yang beroperasi di Kampung Behor Gonchar, Ka­ngar yang mula beroperasi sejak 2012 dan mendapat bantuan daripada MAIPs berupa modal RM1,000 (2012) dan mesin RM6,488 (2019).