Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Islam itu sendiri adalah agama yang mengajar umatnya untuk menjaga keharmonian.

Titah baginda lagi, Islam tidak mengajak kepada permusuhan tetapi menyeru ke arah kehidupan sejagat yang harmoni.

“Islam juga membawa mesej keamanan dan keharmonian hidup tanpa mengira soal agama, bangsa dan warna kulit yang berbeza,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan penutupan Dialog Harmoni dan Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran One Centre Malaysia Perlis di perkarangan Pasar Raya Ten Ten di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Turut hadir Pegawai Kewangan negeri merangkap Pemangku Setiausaha Kerajaan negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menambah bahawa keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk perpaduan.

“Perpaduan yang kukuh akan terlahir daripada manifestasi keharmonian ini. Perkataan harmoni itu sendiri membawa maksud yang pelbagai seperti aman, tenteram, bahagia dan tenang,” titah baginda.

Pada majlis tersebut, selain dialog, turut diadakan kuiz, tarian singa, Yee Sang dan sumbangan zakat. - UTUSAN ONLINE