Titah baginda, pengurusan masa harus ditekankan dalam kehidupan kerana ‘masa itu emas’ yang perlu digunakan sebaiknya.

“Selain daripada itu, berfikiran secara positif dan rasional juga perlu dalam setiap perkara. Didapati, ramai pelajar gagal kerana tanpa disedari, pemikiran mereka telah dikawal oleh pemikiran yang negatif,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah 2019 di Kaki Bukit di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengetua sekolah tersebut, Rosnani Khalid serta Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Bersempena kunjungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan Dewan Tuanku Tengku Fauziah sekolah berkenaan selain turut mengambil bahagian bersama-sama 300 pelajar tingkatan satu hingga tiga dalam program jom membaca 10 minit.- UTUSAN ONLINE