Ibu, Nor Johana Johari, 30, berkata, dia tidak pasti sama ada bayi tahun baharu kali ini menerima ADAM50 atau sebaliknya selepas terdapat perkhabaran bahawa bantuan itu akan dimansuhkan.

Katanya, bantuan tersebut sepatutnya diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada bayi untuk simpanan masa depan mereka.

“Saya pun tak tahu, ingat ada lagi (ADAM50). Kawan-kawan saya yang melahirkan anak tahun lalu juga berpeluang menikmati bantuan simpanan sebanyak RM200 itu,” katanya yang melahirkan anak perempuan ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, hari ini.

Nor Johana Johari bersama anaknya yang dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis hari in

Nor Johana Johari bersama anaknya yang dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN ONLINE/Mohd. Hafiz Abd. Mutalib

Sebanyak empat bayi iaitu masing-masing dua lelaki dan perempuan selamat dilahirkan pada hari pertama tahun ini di HTF di sini.

Bayi pertama iaitu lelaki dilahirkan pukul 4.31 pagi diikuti seorang lagi bayi perempuan dilahirkan pada pukul 9.52 pagi dalam keadaan normal. Selepas itu, dua lagi bayi masing-masing seorang lelaki dan perempuan dilahirkan pukul 11.18 pagi dan 11.21 pagi ini.

Sementara itu, seorang lagi ibu, Nurul Hayati Mohd Tohor, 21, berkata, dia melahirkan anak sulung lelaki kira-kira pukul 4 pagi ini dalam keadaan normal.

Dia juga sependapat dengan rakan sebelah katilnya itu, bahawa ADAM50 perlu diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada bayi baru lahir.

“Saya ingat anak pertama saya ini boleh rasa (ADAM50), tetapi tidak tahu lah masih ada atau tidak. Kalau mansuh, tidak sempat rasalah. ADAM50 baik untuk permulaan simpanan kanak-kanak,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz memaklumkan bahawa ADAM50 dimansuh mulai 31 Disember 2018 selepas setahun ia dibuka kepada semua bayi yang lahir pada 2018.

Zeti dilaporkan berkata, berdasarkan maklum balas, hanya 25 peratus bayi yang dilahirkan pada tahun ini mendaftar bagi program itu dan peruntukkan kerajaan berjumlah RM10 juta untuk program berkenaan juga sudah digunakan sepenuhnya.

ADAM50 diumumkan kerajaan sebelum ini di bawah Belanjawan 2018 khusus untuk setiap anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari 2018 sehingga 2022 dengan dana tabungan permulaan sebanyak RM200. - UTUSAN ONLINE