Kerjasama berkenaan meskipun masih di peringkat awal, namun dilihat oleh banyak pihak sebagai langkah bijak bagi memperkasakan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua universiti terkemuka itu.

Antara manfaat yang dilihat boleh dikongsi, termasuklah me laksanakan pertukaran mahasiswa, sambil mempelbagaikan lagi program penyelidikan dan pembangunan untuk faedah bersama.

Baru-baru ini, pemimpin ter­tinggi kedua-dua institusi pengajian tinggi (IPT) itu mengadakan perbincangan ke arah kerjasama sempena program Jelajah Ilmu Unimap 2017 ke universiti kejuruteraan terkemuka itu di Astana.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap mengetuai delegasi Unimap semasa perbincangan berkenaan, manakala Nazarbayev University diketuai Presidennya, Shigeo Katsu.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan dan Dekan Hal Eh-wal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Madya Razli Ahmad.

Lawatan pemimpin Unimap ke Nazarbayev University itu juga disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Muhamad Bakri Syed Abd. Rahman.

Salah seorang pemimpin MPP Unimap, Mohamad Ariff Amani Mohd. Kamal, 23, penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian) yang berasal dari Kluang, Johor itu, ternyata berbangga dengan usaha kedua-dua IPT berkenaan.

“Menerusi kerjasama yangmula bertapak itu, ia mendedahkan warga Unimap bagi mewujudkan jaringan komunikasi secara berkesan antara mahasiswa dan kumpulan pendidik.

“Dalam masa sama, kedua-dua belah pihak boleh berkongsi karya ilmiah,” katanya.

Sementara itu, penuntut bagi Ijazah Kejuruteraan Biosistem, A. Mugashini, 23, pula mengakui bukan sedikit faedah yang akan diperoleh oleh kedua-dua universiti terlibat jika kerjasama dimeterai nanti.

“Selain kerjasama pendidikan antara Unimap dan Nazarbayev University, saya mendapati Jelajah Ilmu Unimap 2017 merupakan satu program yang cukup bermanfaat.

“Saya berterima kasih kepada Unimap kerana sudi membawa kami (MPP) mengikuti program ini untuk menimba ilmu, terutama akademik,” katanya.