Pemiliknya, Azriq Uzair Abdul Salim, 34, berkata, pada Rabu dan Khamis lalu dia membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menyewa kenderaan miliknya dengan harga serendah RM60 sehari dan kutipannya diserahkan sepenuhnya terus kepada keluarga kanak-kanak itu.

AZRIQ UZAIR ABDUL SALIM
AZRIQ UZAIR ABDUL SALIM 

Katanya, sepanjang dua hari itu, kesemua sembilan kereta pelbagai jenis seperti Perodua Myvi dan Toyota Vios disewa orang dan mereka akan terus menyalurkan duit sewa berkenaan di akaun bank keluarga Ainul Mardhiah.

“Pada hari itu (Rabu) ketika sedang melihat laman sosial Facebook, saya terbaca kisah menyayat hati adik Ainul Mardhiah. Hati saya sungguh tersentuh seterusnya mengambil inisiatif mempromosikan harga rendah untuk orang ramai menyewa kereta di laman Facebook saya dengan hasilnya disumbangkan kepada kanak-kanak itu.

“Tidak sangka pula ia mendapat sambutan orang ramai yang tampil untuk menyewa kereta. Mereka (penyewa) hanya perlu memasukkan RM60 itu di akaun bank bapa kanak-kanak itu seterusnya boleh mengambil kereta dengan saya pada hari tersebut.

“Alhamdulilah, sepanjang dua hari itu, hampir RM2,000 dapat dikutip dan disalurkan terus kepada keluarga kanak-kanak tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Azriq Uzair, dia yang masih tidak dikurniakan anak selepas empat tahun mendirikan rumah tangga merasa cukup terpanggil untuk membantu kanak-kanak itu.

“Apabila melihat kanak-kanak itu, saya merasakan seperti anak sendiri, hati saya begitu sayu untuk membantu dengan cara tersendiri walaupun ia hanyalah satu pertolongan kecil.

Insya-Allah usaha ini akan diteruskan,” katanya yang sudah dua tahun menjalankan perniagaan kereta sewa.

Katanya lagi, dia berharap Ainul Mardhiah dapat sembuh seperti biasa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.- UTUSAN ONLINE