Baginda bertitah guru juga perlu sentiasa menggembleng tenaga dan mencurah idea bagi mewujudkan pasukan kerja yang mantap dan menjadi jentera penggerak ke arah kecemerlangan pendidikan negeri ini.

Bertepatan dengan tema Hari Guru tahun ini, “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi“, kejayaan sistem pendidikan adalah hasil kegigihan, kesungguhan, pengorbanan dan dedikasi guru dalam melahirkan generasi pelapis untuk membangunkan negeri ini pada masa hadapan, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Perlis 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis di sini, semalam.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Izmi Ismail.

Bagi mencapai hasrat itu, baginda berharap guru melipatgandakan usaha dan menggunakan kebijaksanaan, kreativiti dan inisiatif sendiri untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih bersifat interaktif dan mempunyai komunikasi dua hala.

 

Baginda seterusnya berharap golongan pendidik berusaha melaksanakan perkhidmatan yang berkualiti, cekap dan berkesan serta mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi meningkatkan keberhasilan sekolah dan kecemerlangan murid.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Guru Perlis 2019 kepada pesara guru Zalina Ahmad, 61.- BERNAMA