Begitu dilakukan sekumpulan tujuh anak muda di sini, apabila mengambil inisiatif mengedar lebih 1,000 bungkus teh ais secara percuma kepada orang ramai di tepi Jalan Seriab di sini baru-baru ini.

Ternyata aktiviti dilakukan mereka itu mendapat sambutan apabila dalam tempoh empat jam bermula dari pukul 1.30 sehingga pukul 5.30 petang, kesemua bungkusan minuman tersebut habis diedarkan.

Ketua kumpulan tersebut, Muhammad Hanif Ibrahim, 25, berkata, program itu merupakan kali ketiga diadakan mereka sejak akhir tahun lalu.

Katanya, dia bersama rakan-rakan lain yang bekerja sendiri dan sebagai penjawat awam, mengambil inisiatif mengedarkan minuman percuma itu untuk membuat kebajikan.

Menurutnya, mereka berpakat mengumpul dana daripada rakan-rakan lain untuk menjayakan program itu.

“Hasrat kami adalah membuat kenduri (kebajikan) sekadar mampu dan kami memilih teh ais kerana minuman tersebut menjadi kegemaran rakyat pelbagai kaum.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima menggalakkan dengan kehadiran ramai orang sepanjang edaran itu dilakukan. Kalau boleh, kami ingin berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Muhammad Hanif berkata, program tersebut akan diteruskan lagi pada masa akan datang berikutan ramai memberi sokongan dan ingin menyumbang untuk aktiviti kebajikan seperti itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu bagi menjayakan program ini. Insya-Allah kita akan laksanakan lagi program ini dengan skala lebih besar selepas ini,” katanya.