Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Muhamad Rizab Baharom berkata, pihaknya telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan kepada empat restoran terbabit iaitu dua di Kangar dan masing-masing satu di Padang Besar serta Arau.

Katanya, pihaknya akan membuat analisis selepas menerima maklum balas tersebut.

“Jika didapati kenaikan itu tidak munasabah, restoran terbabit akan didakwa seterusnya dikenakan tindakan.

“Mereka akan didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang jika sabit kesalahan bagi perseorangan iaitu denda RM100,000 atau tiga tahun penjara. Manakala bagi syarikat bakal dikenakan denda RM500,000,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di KFC Kangar di sini, hari ini.

Baru-baru ini, kecoh di laman-laman sosial Facebook mengenai kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan terlalu tinggi.

Kenaikan itu melibatkan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini RM12.30 dan naik kepada RM15.30 manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.

KFC dalam maklum balasnya selepas itu menjelaskan bahawa bermula Disember 2018, harga makanan yang disenaraikan adalah termasuk enam peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

KFC dalam kenyataan tersebut dilaporkan berkata, terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Sementara itu, Muhamad Rizab berkata, pihaknya memandang serius mana-mana peniaga atau restoran yang cuba mengambil untung berlebihan dengan menaikkan harga barangan terlalu tinggi.- UTUSAN ONLINE