Ketua Penerangannya, Dr. Ammar Hassan berkata, cadangan itu selaras dengan pengumuman kerajaan Pusat baru-baru ini untuk menangguhkan projek pembangunan CVIA yang menelan kos hampir RM1 bilion tersebut.

Katanya, parti itu berpendapat bahawa seharusnya negeri ini mengambil peluang kelebihan tanahnya yang subur khususnya di kawasan berkenaan untuk dijadikan sebagai tarikan agro pelancongan.

“Kita tidak mahu Perlis menjadi lambakan pekerja asing dengan terbinanya kilang-kilang sekali gus meningkatkan isu sosial seperti mana berlaku di negeri-negeri lain.

“Bersatu berharap kerajaan Pusat dan kerajaan negeri menilai semula untuk menjadikan CVIA yang berkeluasan lebih 1,200 hektar itu sebagai tarikan agro pelancongan kerana lebih dekat dengan masyarakat di Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Bersama Rakyat di pejabat parti itu, di sini hari ini.

Ammar seterusnya memberitahu, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan Pusat supaya mengiktiraf Padang Besar sebagai sebuah kawasan bebas cukai sekali gus menjadikannya sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan pelancongan di Asia Tenggara.

“Sepatutnya mana-mana kawasan di sempadan tanah air menjadi antara lokasi termaju tetapi malangnya di Padang Besar, tidak ubah hanya seperti sebuah ‘pekan koboi’ sahaja.

“Maka sebab itu, kita perlu merebut peluang ini sekali gus mampu menyumbang dan menjana pendapatan negeri,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya kerajaan Pusat tidak menganaktirikan negeri ini daripada segi peruntukan untuk tujuan pembangunan hanya kerana Perlis merupakan sebuah negeri berstatus pembangkang. - UTUSAN ONLINE