Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semangat dan komponen jati diri seumpama itu sewajarnya dijadikan sebagai ‘warisan’ untuk semua kerana mempertahankan negara bukan hanya terletak di atas ‘bahu’ pihak tentera semata-mata, tetapi ia tanggungjawab semua rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat melancarkan ‘Latihan Sukarelawan Rejimen 504 Askar Wataniah, Bagi Tahun 2019’ di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar semalam.

perlis
 

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Lt Kol Mohd Zaidi Ishak serta para pegawai kanan rejimen.

Turut hadir ialah Panglima Markas Infantri 30 Briged di Kem Bukit Cowder Mata Ayer Perlis, Brigadier Jeneral Hassan Embong dan Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari a/l Kiew.

Baginda turut menambah bahawa pembangunan dan perkembangan Askar Wataniah mempunyai hala tuju yang jelas. Apa yang penting adalah komitmen individu yang telah menyahut cabaran ini jujur dan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi.

Dalam hal ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Komander Rejimen turut menyeru seluruh rakyat Perlis dan Malaysia amnya, tidak mengira kaum dan agama untuk sama-sama menjadikan Askar Wataniah sebagai platform bagi meningkatkan dan mengenal potensi diri di samping mewujudkan jaringan kerja di antara satu sama lain di dalam masyarakat.

Pada kesempatan yang sama baginda mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) kerana membenarkan pihak rejimen turut serta mengadakan program ini bersempena ‘Perlis Marathon 2019’ pada hari ini yang mendapat penyertaan 13,000 peserta.

Untuk rekod, kewujudan Rejimen Askar Wataniah (RAW) itu sendiri dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), merupakan satu unsur yang amat penting. Pasukan Sukarelawan ini berperanan membantu ganti serta mengimbangi kekuatan anggota tetap demi untuk mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang. - UTUSAN ONLINE