Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, menerusi sistem tersebut, hasil kekayaan golongan berpendapatan tinggi diambil menerusi pelaksanaan cukai termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang kemudian diberikan semula kepada mereka yang memerlukan.

Kata beliau, perkara yang sama dilakukan di negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan sistem kupon makanan untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

"Bantuan seperti ini telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama (sebelum PRU-14) dan melibatkan semua golongan seperti nelayan, penoreh getah malah para peniaga juga menerusi insentif tertentu.

"Parti pembangkang menggunakan pelbagai istilah untuk memburukkan usaha kerajaan seperti rasuah dan dedak. Namun mereka ibarat 'lidah bercabang' kerana mengatakan bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak tetapi memasukkannya di dalam manisfesto mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan wang ihsan sebanyak RM500 kepada seramai 1,868 buah keluarga mangsa banjir yang tidak berpindah di seluruh negeri ini pada September lalu, melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta di Dewan 2020 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azlan ketika berucap menasihatkan penduduk negeri ini tidak terpedaya dengan tuduhan bahawa GST sebagai kejam kerana mengambil wang rakyat golongan miskin.

Sebaliknya katanya, sistem percukaian itu adalah satu cara untuk 'mengambil' wang mereka yang kaya bagi digunakan semula membantu rakyat yang memerlukan.

"Cuba pergi minta bantuan kewangan contohnya, RM50,000 kepada sesiapa yang kaya untuk membiayai kos pembelajaran anak-anak kita, nescaya mereka (yang kaya) tidak akan sudi membantu.

"Tetapi kerajaan telah membiayai kos pembelajaran anak-anak kita (miskin) sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Inilah wang yang diambil daripada orang kaya (melalui pelaksanaan GST)," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE