Pengerusi Persatuan Harumanis Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, sebaliknya masalah lambakan buah berkenaan tidak pernah berlaku malah permintaannya setiap tahun terus meningkat.

Katanya, tindakan segelintir petani yang membangkitkan soal lambakan dan kejatuhan harga harumanis, menyebabkan majoriti pengusaha lain yang giat memasarkan buah tersebut merasa kecewa serta tertekan.

“Saya melihat tindakan segelintir pengusaha membangkit soal lambakan itu adalah bagi menarik perhatian FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk membeli buah mereka.

“Namun tanpa disedari tindakan seperti ini menyebabkan berlakunya keadaan cemas di dalam pasaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kira- kira 70 orang pengusaha harumanis di Felda Mata Ayer di sini resah kerana hasil tanaman mereka dikhuatiri bakal mengalami lambakan sehingga mencecah 10 tan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Lambakan tersebut menyebabkan pengusaha tanaman kelompok di kawasan seluas 51.47 hektar itu, dijangka mengalami kerugian sehingga mencecah RM280,000 iaitu hanya dalam tempoh tidak sampai dua minggu lagi.

Lebih memburukkan keadaan, FAMA dikatakan tidak dapat membeli dan memasarkan kesemua buah daripada pekebun, sebaliknya hanya mengambil yang berkualiti premium sahaja.

Tambah Hashim, para pengusaha juga perlu memastikan hanya buah yang berkualiti dan tidak rosak ketika ingin menjual kepada FAMA atau pihak-pihak lain bagi memberi keadilan kepada golongan pembeli.

“Tidak bolehlah kita kumpul semua dan berharap pembeli mengambil semua buah meskipun ada (buah) yang tidak elok dan berkualiti.

“Saya harap soal lambakan ini tidak dibangkitkan kerana harumanis sememangnya mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.- UTUSAN ONLINE