Manakan tidak, tinggal empat bulan kanak-kanak comel ini dikatakan mampu bertahan untuk melawan penyakit leukemia yang dihidapinya.

Bagi insan paling dekat dan rapat dengan Fatimah Azzahra iaitu bapanya, Mohd. Bukhori Md. Yatim, 41, andai kali ini merupakan Ramadan dan Syawal terakhir buat puteri kesayangannya itu, mereka sekeluarga sudah bersedia dan reda.

Namun kata Mohd. Bukhori, dalam tempoh yang ada ini, setiap masa dan detik itu cukup berharga bagi dia dan keluarga meluangkan masa dengan Fatimah Azzahra khususnya di rumah mereka di Taman Seri Meranti, Changlun, Kedah.

Katanya, apa yang membuatkannya tersentuh ialah apabila abang serta kakak Fatimah Azzahra juga turut melakukan perkara sama dan akan memenuhi apa jua kehendak adik mereka itu.

“Fatimah Azzahra suka makan ayam goreng dan keropok lekor. Tanpa sebarang rungutan, kakak ataupun abangnya akan berusaha mencari makanan itu setiap kali diminta. Begitu juga keperluan lain, kami akan penuhi.

Andai kali ini Ramadan dan Syawal terakhir
Mohd. Bukhori Md. Yatim,41, melihat anaknya Fatimah Azzahra yang sedang terbaring ketika ditemui di rumahnya di  Taman Seri Meranti, Changlun, Kedah.

“Fatimah Azzahra juga akan kelihatan lebih gembira jika berpeluang balik ke rumah selepas banyak masanya selama ini di hospital bersama saya. Kalau dia (Fatimah) berada di rumah, dia nampak sihat sikit, boleh bersama adik beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Mohd. Bukhori, dia akan membawa Fatimah Azzahra dan adik beradik lain pergi membeli baju raya pada pertengahan Ramadan ini.

Katanya, setiap kali Syawal, anak kelima daripada tujuh beradik itu gemar memakai baju raya berwarna merah jambu dan kali ini juga puteri kesayangannya itu meminta warna sama selain kasut yang sudah dibeli lebih awal.

“Jika Syawal sebelum-sebelum ini, Fatimah Azzahra gembira dan aktif setiap kali menyambut hari raya. Tahun ini, keadaannya sedikit berbeza apabila dia sudah tidak lagi sihat.

“Dalam tempoh yang ada ini, kami akan bersama dan memenuhi segala kehendaknya. Jika sesuatu berlaku dalam tempoh empat bulan ini, saya sudah tetapkan hati ini agar reda. Apa yang saya lalui sepanjang menjaga Fatimah Azzahra membuat saya bertambah kuat,” katanya.

Tambah Mohd. Bukhori, berdasarkan pengakuan doktor, adalah mustahil untuk Fatimah Azzahra kembali sembuh seperti sedia kala.

Katanya, kini anaknya itu akan pergi ke hospital hanya untuk tambah darah dan jika berlaku pendarahan.

“Saya selalu berdoa agar anak saya ini diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur meskipun tempoh yang ditetapkan untuk dia bertahan hanya tinggal empat bulan,” katanya.

Utusan Malaysia pada April lalu melaporkan, kasih sayang tidak berbelah bahagi terhadap anaknya, mendorong seorang bapa berhenti kerja sebagai juruteknik yang sudah lebih 20 tahun diceburinya bagi menjaga serta memberi sepenuh tumpuan terhadap puteri kesayangannya yang disahkan menghidap leukemia sejak 2015.- UTUSAN ONLINE