Titah baginda, pengguna yang mengambil ubat-ubatan tidak berdaftar termasuk mendapatkannya daripada sumber tidak sah seperti membeli melalui internet menanggung risiko yang boleh menyebabkan mereka menyesal di kemudian hari.

“Beta mahu rakyat menjaga kesihatan supaya produktiviti dan prestasi kerja tidak terjejas termasuk menjadi cepat bosan, hilang tumpuan, lesu dan akhirnya menghadapi tekanan akibat pengambilan ubat yang salah," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah melancarkan Program Sumbangan Cermin Mata anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perlis, Bolton Optical Group, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Shah Alam dan Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) di sini, petang semalam.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir dua anggota Exco kerajaan negeri, Khairi Hasan dan Rela Ahmad.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan Bolton Optical Group Datuk Sim Eng Peng menyerahkan cek bernilai RM300,000 penajaan syarikat itu untuk lebih 200 orang miskin khususnya pelajar di Perlis yang menduduki peperiksaan tahun ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga pengerusi YTSP bertitah orang ramai yang menghadapi masalah penglihatan agar menjalani pemeriksaan di hospital, klinik atau pakar mata bertauliah.

“Pastikan mata diperiksa secara menyeluruh supaya dapat diketahui punca sebelum meneruskan rawatan sewajarnya. Rawatan bukan sekadar menilai tahap kerabunan dan ketajaman penglihatan kerana ia mungkin berpunca daripada penyakit lain atau perubahan anatomi dan fisiologi mata.

“Beta mahu rakyat mengamalkan cara hidup sihat sebagai usaha mencegah penyakit dan ini termasuk melalui pengambilan makanan berkhasiat,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin mengharagai sumbangan Bolton Optical Group kerana membantu golongan miskin yang memerlukan cermin mata memandangkan kosnya yang agak tinggi. – BERNAMA