Sehubungan itu, golongan berkenaan berharap agar Pakatan Harapan (PH) dapat meneruskan tradisi kerajaan terdahulu yang tidak pernah terlepas memberi bantuan khas kepada para peneroka untuk membantu meringankan beban mereka.

Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan, 38, berkata, berbanding sebelum ini, para peneroka pasti menerima ‘duit raya’ walaupun ada masanya sikit dan adakalanya banyak.

“Dahulu, walaupun sikit, dia (kerajaan) bagi. Ada dalam kalangan peneroka ini, sememangnya sangat berharap duit raya itu untuk membeli kelengkapan dan jika tidak dapat, mereka terpaksa mencari ikhtiar lain.

“Sekarang musim hujan, pendapatan para penoreh ini juga dalam keadaan tidak menentu. Maka itu, saya berharap kerajaan baharu ini dapat mempertimbangkan pemberian duit raya ini,” katanya yang juga penoreh ketika ditemui hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak membuat keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada peneroka Felda di seluruh negara.

Sementara itu, seorang lagi penoreh, Omar Bakar, 64, mengakui merasa kecewa sekiranya kerajaan gagal memberikan sumbangan hari raya kepada mereka seperti mana sebelum ini.

Katanya, ketika penjawat awam menikmati manfaat bonus atau bantuan khas sempena hari raya daripada kerajaan, para penoreh pula dibiarkan begitu sahaja.

“Ramai lagi dalam kalangan penoreh khususnya yang anak ramai masih tidak mampu membeli kelengkapan raya. Sekurang-kurangnya duit raya ini dapat membantu mereka.

“Kita berharap tidak kira kerajaan apa sekali pun, bantuan duit raya itu sepatutnya diberikan,” katanya yang juga bekas Ketua Peneroka Felda Mata Ayer.- UTUSAN ONLINE