Program yang julung-julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu, bertujuan adalah bagi merapatkan hubungan antara warga emas dan masyarakat khususnya generasi muda.

Seramai 40 orang pelajar dari Kolej Vokasional Arau, PDK Indera Kasih (10 orang) dan anak yatim dari Rumah Kanak-kanak Arau (14 orang) terlibat menjayakan program itu.

Menurut Pengarah JKM negeri, Mohammad Hazam Ismail, program itu telah berjaya merapatkan jurang hubungan antara kira-kira 60 orang warga emas dengan masyarakat setempat menerusi aktiviti yang dianjurkan.

Katanya, kumpulan warga emas itu adalah dari RSK di sini, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Rumah Sejahtera.

“Pada program ini, para peserta berpeluang untuk bersama-sama membuat bedak sejuk, kuih karas dan menganyam tudung saji iaitu aktiviti yang biasanya dilakukan oleh penghuni di RSK ini dan ceramah.

“Sebagai tambahan, kita turut memasukkan aktiviti terapi kesunyian untuk warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja peringkat negeri.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kangar, Nor Amin Ahmad.

Tambah Mohammad Hazam, hasil maklum balas mendapati para peserta memperoleh pengalaman baharu menjalankan aktiviti sambil mendekati warga emas.

Katanya, sehubungan itu, pihaknya merancang untuk memperluaskan lagi aktiviti berkenaan pada masa depan. - UTUSAN ONLINE