Pengerusi Belia dan Sukan negeri, Hamizan Hassan berkata, setiap program berkaitan belia di negeri ini masih kekal pada umur sehingga 40 tahun seperti sedia kala.

“Di Perlis kita masih seperti sebagaimana yang sedia ada, belum ada cadangan lagi untuk review (mengkaji semula),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Pada masa sama, Kerajaan Selangor turut menetapkan untuk mengekalkan had umur golongan belia sehingga 40 tahun bagi setiap program pembangunan di negeri itu.

Sementara itu, Hamizan berkata, Perlis tiada halangan dengan had umur belia dan berharap agar program serta pengisian bagi golongan berkenaan dapat dipertingkatkan.

“Kita mengharapkan agar program dan pengisian bagi golongan ini dipertingkat dan diperkasakan dengan lebih baik agar golongan ini lebih berdaya maju dalam cabaran global hari ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang.- UTUSAN ONLINE