Menurut Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin, program itu adalah kesinambungan siri sebelum ini yang mana pelajar berpeluang menjalani kehidupan bersama masyarakat Islam Kemboja yang hidup dalam kedaifan.


Dalam program itu, 19 pelajar dan sembilan kakitangan universiti itu akan mengadakan pelbagai program termasuk membaik pulih sekolah dan masjid di kampung tersebut.


Mereka juga akan menyalurkan bantuan berupa 70 kampit beras dan barangan keperluan harian kepada penduduk berkenaan, katanya kepada Bernama selepas melancarkan program itu di UiTM Perlis, hari ini.


Zailuddin berkata peserta termasuk kakitangan Unit Kesihatan UiTM Perlis akan turut menyumbang bakti dalam majlis berkhatan ke atas 40 kanak-kanak Kampung Osmaait secara percuma berikutan kos menjalani rawatan itu di negara itu agak mahal.


Dalam perkembangan lain, UiTM Perlis akan menghantar 51 pegawai dan atlet ke Karnival Sukan Staf UiTM (KARiSTA) 2019 di UiTM Johor bermula 26 Jan sehingga 1 Feb depan, katanya.


Menurut Zailuddin, UiTM Perlis menyasarkan memenangi lima pingat emas seperti yang dicapai pada KARiSTA di UiTM Kedah tahun lepas. UiTM Perlis turut meraih lima perak dan lima gangsa pada kejohanan itu untuk muncul naib johan keseluruhan.- BERNAMA