Edisi kali ini menjadi lebih bermakna dan meriah sempena TNB Janamanjung Sdn. Bhd. (TNBJ) menyambut ulang tahun ke-20 kewujudan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak.

Kehangatan dan kemeriahan jelajah berbasikal itu semakin terasa menjelang acara dengan berlangsungnya majlis prapelancarannya di Dataran Vibrant, Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bangsar di Kuala Lumpur semalam.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman; Chief Generation Officer TNB, Ir. Roslan Abdul Rahman dan Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad serta pegawai TNB yang lain.

KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (dua dari kiri) menyerahkan jersi TNB JMFR

KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (dua dari kiri) 
menyerahkan jersi TNB JMFR 2019 kepada Pengarah Urusan TNB Janamanjung 
Sdn Bhd (TNBJ), Datuk Shamsul Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis 
Prapelancaran JMFR 2019 di Ibu Pejabat TNB, Bangsar di Kuala Lumpur 
semalam. - UTUSAN ONLINE

Berbaki sebelas hari sahaja lagi untuk menggegar Manjung, acara berprestij TNB JMFR menerima penyertaan pengayuh amatur dan berpengalaman dari dalam dan luar negara.

Peserta bakal mengayuh sejauh 121 kilometer dari Teluk Batik dengan merentasi pekan Parit dan Air Tawar, sebelum kembali ke Teluk Batik.

Para peserta akan dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis.

Pada majlis prapelancaran semalam, Roslan melepaskan sebahagian daripada 16 buah kenderaan TNB yang memaparkan logo rasmi TNB JMFR 2019 yang akan mempromosikan acara kayuhan itu di sekitar Lembah Klang dan Perak.

Bertemakan ‘Cycling for Green’, penganjuran TNB JMFR kali ini menyambung komitmen TNBJ dalam memulihara alam sekitar yang mana RM10 daripada yuran pendaftaran disumbangkan kepada penanaman semula anak pokok bakau di persisiran pantai sekitar Manjung.

JMFR mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan mula menjadi program tahunan negeri Perak sejak tahun 2015. - UTUSAN ONLINE