Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, sesuatu projek yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat tidak akan dihentikan malah akan diteruskan dengan lebih baik lagi.

Malah katanya, dalam pelaksanaan sesuatu projek, ia juga akan dijalankan secara berhemah tanpa sebarang pembaziran.

“Isu ini tidak timbul, bukan siapa yang ambil kredit tetapi ia adalah tugas untuk rakyat. Tak akan kita mahu hentikan semua projek yang baik (oleh kerajaan terdahulu).

“Sekiranya ambil alih, kita akan buat lebih baik dengan pastikan yang terbaik, dijalankan secara berhemah dan tidak menbazir,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Jajaran Seksyen 8 WCE, Persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan di Plaza Tol Teluk Intan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berharap tiada pihak yang menuntut ‘kredit’ daripada pembinaan WCE.

Ahmad Zahid berkata, projek berkenaan merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan semata-mata demi kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut Mohd. Anuar berkata, sikap ungkit mengungkit seumpama itu tidak seharusnya timbul kerana ia akan menggores perasaan rakyat.

“Kita percaya (tindakan pembangkang) ungkit-mengungkit ini macam orang bercerai, apabila bercerai timbul macam-macam cerita.

“Di bulan baik dan menyambut raya, kita harus bermaafan. Tidak perlu timbul perkara yang mengguris perasaan rakyat kerana rakyat mudah sahaja dipanaskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE