AHMAD FAIZAL AZUMU
AHMAD FAIZAL AZUMU 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pertukaran nama terminal berkenaan juga telah mendapat sembah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Pada saya, nama tempat, dataran, stadium dan sebagainya tidak perlu dipolitikkan. Kalau nama dia Stadium Perak, kita kekalkan sampai sudah.

“Kalau hari ini saya namakan Stadium Perak Harapan, esok naik orang lain, dia jadi lain pula. Biarlah dari dulu, kini dan selamanya kita kekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) di sini hari ini.

DigitalPerak ialah nama baharu kepada syarikat amanah diperbadankan pada tahun 2006 iaitu KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) yang telah melalui proses penjenamaan dan penstrukturan semula sejak akhir tahun lalu.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan satu surat rasmi kerajaan negeri yang memaklumkan tentang persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dengan penjenamaan semula nama bagi dua terminal bas di negeri ini.

Dua terminal bas yang dijenamakan semula itu ialah Terminal Bas Amanjaya kepada Terminal Meru Raya dan Terminal Bas Kampar kepada Terminal Kampar Putra.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri sebelum ini juga telah menukar nama Bulatan Amanjaya di Meru Raya kepada Bulatan Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata, langkah itu sebagai suatu penghormatan tinggi terhadap Almarhum Sultan Azlan Shah.

“Kita pernah mendapat seorang sultan yang menjadi Ketua Hakim Negara, jadi bila kita abadikan nama almarhum baginda, saya tidak fikir ada rakyat yang membantah termasuk dari pembangkang,” katanya. - UTUSAN ONLINE