Itu yang dilakukan oleh seorang penduduk di sini, Shamsuri Awang, 49, di sekeliling rumahnya di Kampung Wawasan Indah PPMS Bukit Merah di sini sejak setahun lalu.

Tanpa memerlukan modal yang besar, cukup sekadar tulang empat kerat dan cangkul, dia menanam cabai dan terung serta menyemai anak pokok durian belanda dan nangka.

Menurutnya, sebelum ini dia mengambil upah kerja kampung seperti mengait buah kelapa sawit dan menebas di tanah milik penduduk di sini.

Katanya, pendapatannya ti­dak menentu dan disebabkan faktor usia yang semakin lanjut, dia memikirkan sampai masa untuk membuat kerja sendiri.

“Saya mengambil keputusan berkebun di kawasan sekeliling rumah yang agak luas dengan dibantu oleh isteri.

“Sejak enam bulan yang lalu, suasana sekeliling rumah sudah berubah dipenuhi tanaman sayur dan benih pokok buah-buahan.

“Hasilnya dijual kepada penduduk setempat dan orang luar dan ia memberikan pendapatan yang agak baik kepada saya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia gembira kerana tanaman yang diusahakannya mendapat sambutan daripada pembeli sehingga membolehkan dia menyara keluarganya.

Katanya, jika dahulu upah kerja kampung antara RM30 dan RM50 sehari, kini dia mendapat lebih kurang RM50 sehingga RM100 sehari hasil jualan, bergantung kepada permintaan dan musim.

“Saya bercadang untuk membesarkan lagi projek ini dengan menambah keluasan kawasan yang saya usahakan,” katanya.

Menurutnya, dia sering men­dapatkan nasihat daripada Ja­batan Pertanian dan Pejabat Daerah Kerian untuk memajukan lagi usaha yang dijalankannya itu.

“Saya mengharapkan bantuan peralatan pertanian dan saya juga bercadang untuk menjual hasil tanaman ini di pasar hari­an,” katanya.