Selain mengadakan perbincangan dengan penternak terlibat, rombongan tersebut yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail turut melawat kolam-kolam ternakan ikan hiasan seluas 66 hektar yang diusahakan pengusaha terlibat antara 30 hingga 40 tahun lalu.

Razali dalam sidang akhbar selepas itu berkata, pihaknya akan membuat penelitian secara mendalam aduan yang telah dibuat perternak terlibat kerana ia melibatkan aspek kepenti­ngan hidup mereka.

“Suhakam datang ke mari hari ini sebab penternak telah buat aduan kepada kita. Kita da­tang untuk lihat secara dekat apa yang berlaku.

“Dari apa yang diberitahu kami rasa sangat simpati sebab mereka ini penternak asli di sini dan itu ternakan ikan koi menjadi punca sara hidup,” katanya.

Bagaimanapun, kata Razali, pihaknya akan meneliti secara mendalam semua maklumat yang diperoleh daripada tinjauan yang telah dibuat hari ini.

Tambah beliau, jika perlu pihaknya juga akan bertemu kerajaan negeri Perak dan pejabat tanah untuk mendapatkan maklumat yang sebenar sebelum membuat syor-syor kepada pihak-pihak terlibat.

“Ternakan ikan hiasan, koi di sini telah meletakkan nama Malaysia atas peta dunia sebagai salah satu pengeluar ikan koi. Bukan semua negara mampu melakukannya.

“Usaha mereka ini juga perlu dinilai secara teliti meskipun mereka tidak mempunyai apa-apa bukti secara bertulis hak menggunakan tanah ini,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, 39 penternak terlibat telah menghantar memorandum kepada Suhakam meminta menyelamatkan mereka yang telah diarah keluar dari tanah tersebut oleh tuan tanah yang telah diberikan geran.

Sehingga kini 25 geran dikeluarkan untuk tanah tersebut dan terdapat tuan tanah yang telah menjual tanah tersebut pada pihak lain.