Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris berkata, daripada jumlah tersebut, 37,026 pelajar merupakan calon sekolah manakala 2,169 lagi mendaftarkan diri sebagai calon persendirian.

“Seramai 33,832 calon menduduki SPM di sekolah kerajaan termasuk sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan sementara 1,514 pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Bilangan calon di sekolah swasta pula adalah sebanyak 689 orang diikuti sekolah menengah agama rakyat (599 calon) dan sekolah menengah agama negeri (392 calon).

“Selain itu, terdapat juga 110 calon berkeperluan khas yang menduduki SPM pada tahun ini dan daerah Kinta Utara mencatatkan bilangan calon tertinggi iaitu seramai 10,725 calon,” katanya selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mat Lazim berkata, dengan dibantu keseluruhan 2,707 petugas, beliau berharap peperiksaan SPM di negeri ini berjalan lancar.

“Kita turut menyasarkan pencapaian SPM yang terbaik selari dengan matlamat Perak Excellence bagi mencapai 100 peratus lulus dalam peperiksaan kali ini,” katanya.