Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, perintah penutupan terhadap premis berkenaan yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu itu dibuat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Premis ini tidak pernah diserbu dan kita menerima maklumat daripada orang awam. Oleh itu, premis ini diarah tutup selepas notis dikeluarkan supaya kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan.

“Sekiranya Jabatan Kesihatan tidak berpuas hati, tempoh tersebut boleh dilanjutkan dan jika mereka ingkar, tindakan boleh diambil ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan melibatkan premis penyediaan minuman beralkohol di sini hari ini.

Tinjauan di premis tersebut mendapati ia kelihatan seperti sebuah pondok kayu usang lagi kotor dengan bau tidak menyenangkan, malahan terdapat seekor tikus ditemukan mati dalam salah sebuah tong di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, ekoran kejadian wabak keracunan methanol akibat pengambilan alkohol dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan pada 28 April lalu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan sebanyak 465 buah premis diperiksa.

Beliau berkata, daripada 28 sampel yang diambil, lima sampel didapati positif keracunan methanol.

“Sehingga 7 Julai 2019, kumulatif kes keracunan methanol yang dimaklumkan adalah sebanyak 29 orang.

“Oleh itu, sebanyak 18 notis kesalahan telah dikeluarkan melibatkan 558 produk disita dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan bernilai RM10,297.50,” katanya. - UTUSAN ONLINE