Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sehingga kini, PJMB dilaksanakan di Parlimen Parit dan Padang Re­ngas minggu lalu sebelum dite­ruskan semalam di Teluk Intan dan Tanjung Malim hari ini.

Beliau berkata, selain meninjau perkembangan projek yang dirancang, pihaknya turut mendapatkan maklum balas me­ngenai isu dan masalah setempat yang dibangkitkan masyarakat melalui wakil rakyat masing-masing.

“Antara perkara yang dibangkitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat setempat dalam program jelajah ialah me­ngenai masalah kecurian harta benda awam terutama kabel elektrik, kabel telekomunikasi, kabel gentian fiber, lampu dan sebagainya.

“Masalah ini sudah jadi seperti sindiket, apabila setiap kali harta untuk kepentingan awam itu dipasang, ia dicuri mengakibatkan kerugian terutama masyarakat setempat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Tanah dan Daerah Muallim di Slim River sempena PJMB 2018, di sini hari ini.

Menurutnya, masalah kecurian harta awam perlu ditangani dan pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kegiatan mencuri harta benda awam itu segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, selain kecurian, ma­s­a­lah yang dikesan adalah berhubung tanah pertanian disalahgunakan dan dijadikan ladang ternakan haiwan seperti ayam tanpa kebenaran yang menimbulkan masalah kepada masyarakat.

“Kerajaan negeri serius tentang perkara ini dan sudah ada mengambil tindakan termasuk merobohkan ladang ternakan haram, walaupun pengusaha mendakwa sudah mengeluarkan modal jutaan ringgit.

“Ini kerana kita lebih utamakan kepentingan rakyat dan tidak akan kompromi terhadap pihak yang hanya memikirkan keuntungan sahaja,” katanya.

Zambry berkata, selain Muallim, antara kawasan paling banyak menerima aduan ber­kenaan masalah itu ialah Manjung, daerah Larut, Matang dan Selama.