Seorang pesawah, Helly Mohamed, 46, berkata, masalah itu disebabkan parit agihan air di Bukit Chawi Mukim Bandar yang digunakan untuk menyalurkan air ke sawah dari tali air utama dan parit buang tidak diselenggara dengan baik.

Menurutnya, kawasan yang tidak dapat memulakan penanaman padi melibatkan kira-kira 2,000 hektar.

“Masalah tidak cukup air menyebabkan benih yang kami tabur kira-kira dua minggu lalu kini rosak.

“Air tidak boleh masuk ke kawasan sawah disebabkan paras air di saliran pakai buang sama paras dengan perparitan yang tersumbat kerana tidak diselenggara de­ngan betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, masalah itu berlaku sejak kerja penyelenggaraan diambil alih oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) empat tahun lalu daripada Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS).

Helly mendakwa, sistem perparitan di situ hanya dibersihkan dua kali setahun.

“Keadaan ini menyebabkan saliran dipenuhi rumput, terdapat banyak sampah dan kayu-kayu hutan sehingga menyekat aliran air.

“Sehingga kini air tidak dapat dialirkan ke kawasan sawah dan ini menyebabkan pesawah bimbang kerana jadual musim menanam sudah lama bermula,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Sulaiman Nordin, 57, berkata, masalah itu sudah kerap kali diadukan kepada IADA tetapi perkara itu tetap berterusan.

Sulaiman merupakan wakil petani di tanah rancangan bekas perajurit berkata, kawasan sawah padi seluas 1,180 hektar di Blok C di Sungai Kerang dan Sungai Timah mulai kering dan merekah kerana tiada air.

“Jika masalah ini berterusan, kami mengalami kerugian besar,” katanya.