Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini ekoran kenyataan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) semalam yang mengesahkan tidak terlibat dalam kerjasama dengan syarikat yang telah diberikan kelulusan permit tanah.

Menurutnya, ini berbeza dengan kenyataan Ahmad Faizal sebelum ini bahawa syarikat tersebut bekerjasama dengan MTIB.

“Lebih banyak beliau (Ahmad Faizal) bercakap, lebih banyak perkara sebenar yang terdedah. Bagi saya ini adalah satu pembohongan kerana beliau mendakwa syarikat yang diberikan permit kelulusan tanah ada kerjasama dengan MTIB

“Lebih baik beliau (Ahmad Faizal) bercakap benar, berterus terang dan berkata yang telus mengenai perkara yang sebenarnya dalam isu ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kenyataan media semalam, MTIB menafikan bekerjasama dengan syarikat yang diberikan kelulusan permit projek perladangan hutan di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, setakat ini syarikat berkenaan tidak pernah menghubungi MTIB berkenaan hasrat untuk bekerjasama di dalam projek tersebut.

Saarani turut mendedahkan syarikat yang terlibat telah menerima suntikan modal berbayar kepada RM500,000 berbanding RM2 sebelum ini.

Beliau percaya pertambahan modal berbayar dalam jumlah yang besar secara tiba-tiba itu disebabkan pendedahan bahawa syarikat berkenaan diberikan kelulusan permit untuk satu projek yang besar.

“Pertambahan modal berbayar itu dikesan semalam dan ia dibuat hanya selepas pendedahan mengenai modal berbayar syarikat itu yang cuma RM2.

“Ini tidak menghilangkan keraguan terhadap kes ini kerana modal berbayar RM2 syarikat itu menjadi asas kepada pendedahkan kes ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE