Permainan seperti gasing, konda-kondi, baling selipar dan sepak raga ratus mungkin dilihat lebih sinonim dengan masyarakat Melayu.

Gasing yang biasanya dimainkan selepas musim menuai, dipertandingkan antara kampung dengan pemenangnya dikira berdasarkan tempoh masa ia mampu berputar.

Konda-kondi pula hanya memerlukan dua batang kayu yang berlainan panjangnya.

Kayu pendek diletakkan me­lintang pada lubang yang dikorek di tanah sementara kayu panjang dijadikan sebagai pemukul.

Dalam permainan baling selipar pula, selipar akan disusun menegak umpama sebuah piramid. Pemainnya akan membaling selipar ke arah susunan selipar sehingga berjaya menjatuhkannya.

Realitinya, permainan tradi­sional ini boleh dimainkan serta dijayakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-61, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan Festival ‘Sama-Sama Main’ yang antara lain bertujuan membawa mesej pe­nyatuan kaum di negara ini.

Sehubungan itu, bertempat di Dataran Medan Selera Dato’ Sagor di sini, telah berlangsung program ‘Sama-Sama Main’ yang menghimpunkan permainan tradisional pelbagai kaum yang dimainkan oleh anak muda di sini semalam.

Antara dipertonton­kan kepada umum ialah permainan diabolo atau yoyo Cina di mana gerakan selang-seli me­ngangkat dan menjatuhkan dua cakera yang disambungkan kepada gandar, dengan putarannya dikawal oleh dua batang kayu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelan­congan, Ke­­senian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, penganjuran program itu juga sebagai salah satu platform untuk memperkembangkan bakat dalam kalangan golongan muda.

Beliau berkata, pihak­nya berbangga kerana berjaya menarik pe­nyertaan 200 orang belia untuk menjadi sukarelawan, jus­teru berhasrat membawa program itu ke daerah-dae­rah.

“Idea ini wujud untuk membawa konsep sama-sama, tidak kira bangsa, latar be­lakang dan parti politik. Kita buang segala prasangka kerana kita kini berada di era baharu iaitu ‘Malaysia Baharu’,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah nege­ri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.