Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi memuktamadkan pengisian modul berkenaan sebelum ia dapat dilaksana pada tahun ini.

“Untuk permulaan, kita sudah mengenal pasti 10 sekolah menengah yang akan menjadi projek

TAN KAR HING
TAN KAR HING 

perintis dan lebih banyak sekolah lagi bakal terlibat dengan pelaksanaan modul ini.

“Pelajar akan diberikan pendedahan mengenai produk pelancongan dan keunikan seni budaya seperti tekat emas, labu sayung serta sejarah mengenai Sungai Perak. Selain itu, mereka turut diberikan peluang melawat tempat bersejarah,” katanya selepas merasmikan program Silang Budaya yang disertai 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford dan SMK Bukit Merchu di Galeri Sultan Azlan Shah di sini baru-baru ini.

Program yang masuk tahun kedua penganjurannya itu antara lain memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali muzium dengan lebih dekat sekali gus menarik minat ramai untuk sama-sama melindungi warisan budaya dan bangsa.

Terdahulu, Kar Hing berkata, program itu memberi pendedahan terbaik kepada generasi muda untuk memahami serta menghargai keunikan budaya yang ada di negeri ini.

“Budaya dan tradisi harus terus dijaga dan dipelihara supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.