Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya menyasarkan untuk menambah keluasan padang ragut kepada sekurang-kurangnya 3,000 ekar untuk setiap daerah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan perhatian serius dengan memberi penekanan terhadap pewartaan kolam-kolam nelayan darat.

“Satu lagi sektor penting yang perlu diberi perhatian ialah golongan pesawah. Bagi membantu golongan ini, kita akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu untuk mencari jalan supaya semua pesawah dapat meningkatkan pengeluaran padi sekali gus menambah pendapatan mereka.

“Jawatankuasa ini berperanan mengkaji pelbagai kelemahan sistem penghantaran industri padi secara menyeluruh agar semua itu dapat diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan perutusan bersempena setahun Malaysia Baharu di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Faizal turut memberi keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan sesekali menggadaikan bangsa dan agama dalam menjunjung perjuangan mereka.

“Yakinlah dengan sesungguhnya, perjuangan ini berada dalam landasan yang benar.

“Malahan, Mufti Perak yang kita kasihi, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak melihat kedudukan Islam tertekan atau tergugat di negara ini selepas peralihan kerajaan,”katanya. - UTUSAN ONLINE