Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, karnival tersebut bagi menangani kenaikan harga barangan keperluan sekolah dan memberi banyak manfaat kepada golongan B40.

Katanya, menerusi karnival tersebut, para peniaga dapat mempromosikan barangan pada harga yang murah dan pengguna pula mempunyai pilihan untuk menilai serta memilih sendiri barangan yang diperlukan.

“Perak akan menjadi kerajaan negeri pertama mengadakan karnival ini di setiap daerah kerana ia belum dilaksanakan di peringkat Pusat ataupun kerajaan negeri yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan barangan keperluan sekolah di Pasar Raya Mydin Meru di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Shamsul Nizam Khalil.

Sementara itu, mengenai rungutan orang ramai di dalam media sosial yang mendakwa harga kasut sekolah hitam mahal sehingga mencecah RM40, Sivanesan berkata, pengguna mempunyai pilihan.

Katanya, sekiranya pengguna merasakan terbeban dengan harga RM40 tersebut, mereka boleh membeli kasut hitam lain yang lebih murah.

“Saya lihat di internet ada kasut hitam yang berharga RM24 sahaja.

“Karnival Kembali Ke Sekolah ini akan memberi pilihan kepada mereka untuk membeli barangan yang diperlukan dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, pihaknya telah memeriksa 242 premis dan mengeluarkan lapan notis amaran atas pelbagai kesalahan pada 22 hingga 26 Disember lalu.

“Setakat ini kami tidak menerima aduan mengenai kenaikan harga kasut sekolah hitam dan keperluan sekolah yang lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE