Ahmad Adenan Said berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah dan bersifat andaian.

Menurutnya, beliau percaya dakwaan itu bertujuan untuk menjatuhkan Abdul Yunus ekoran masalah peribadi.

“Dakwaan itu mahu menjatuhkan Abdul Yunus kerana tidak meluluskan permohonanan tanah yang telah dibuat oleh pihak yang membuat dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang ahli PKR hari ini yang membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang ahli exco kerajaan negeri telah membocorkan kertas minit mesyuarat exco kerajaan negeri.

Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean mendakwa perkara itu dilakukan bagi mendapatkan komisyen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas ahli exco berkenaan bersetuju untuk menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.

Ahmad Adenan percaya laporan polis yang oleh Yong Kean dibuat ada kaitan dengan masalah peribadi dengan Abdul Yunus.

Menurut beliau, ini kerana Abdul Yunus tidak meluluskan permohonan kilang ais Yong Kean di Tanjung Piandang kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Mungkin atas sebab itu beliau mengatur langkah membuat fitnah dan andaian. Kami sedia untuk kerjasama dan mengalu-alukan siasatan untuk mengetahui kebenaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE