Sumbangan itu yang kesemuanya berjumlah RM130,000 diumumkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama kariah Masjid Al-Dinniah di Kampung Sri Kinta di sini hari ini.

Antara masjid yang menerima sumbangan ialah Masjid Ibnu Salam, Kampung Pengkalan Pegoh, Masjid Al-Furqan (Taman Pengkalan Jaya) dan Masjid Jamek Al-Dinniah.

Menurut Kah Woh, sumbangan tersebut merupakan peruntukan daripada Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timur yang telah diluluskan bagi keperluan masyarakat.

Selain itu katanya, sumbangan sebanyak RM20,000 pula disalurkan kepada Surau Al-Qamar, Taman Pengkalan Utama.

“Kita juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Pasir Puteh.

“Turut diluluskan ialah sumbangan bagi pembinaan semula pintu gerbang di Kampung Sri Kinta sebanyak RM30,000 di mana kerja-kerja pembaikan akan dilakukan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Kah Woh menyampaikan sumbangan yang diterima oleh Pengerusi Masjid Jamek Al-Dinniah, Kampung Sri Kinta, Shahril Yahya.

Pada majlis berbuka puasa itu, Kah Woh turut mengumumkan akan menyampaikan bantuan kepada keluarga fakir miskin di kampung berkenaan bagi meringkan beban mereka menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Shahril ketika ditemui mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kah Woh yang menyampaikan sumbangan bagi keperluan para kariah di masjid berkenaan.

“Saya merasa berbesar hati apabila Ahli Parlimen Ipoh Timur sudi turun padang menyampaikan sumbangan kepada masjid ini.

“Sumbangan ini akan diguna bagi keperluan masjid seperti membaiki kerosakan dan lain-lain program yang kita anjurkan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE