Menurutnya, pengiktirafan itu tidak mudah dicapai jika tiada kerjasama dengan semua pihak dan dalam masa sama pihaknya menyokong idea baharu bagi meningkatkan per­khid­matan MPKK.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan apa juga pandangan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan dari segi kebersihan, landskap, ruang niaga dan kediaman perumahan.

“Saya mula berkhidmat sebagai Setiausaha MPKK pada tahun 80-an dan menjadi YDP pada 2013, jadi saya sinonim dengan warga Kuala Kangsar dan rakan-rakan yang menjalankan tugas.

“Saya terhutang kepada semua pihak yang membantu mencapai kejayaan mendapat pengiktirafan yang bermakna ini,” katanya dalam Majlis Apresiasi MPKK, Anugerah Per­khid­matan Cemerlang, Meraikan Pesara dan Majlis Jasamu Dikenang – Majlis Perpisahan Yang Dipertua MPKK di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zulazlan Abu Hassan.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor; ADUN Lubuk Nerbau, Dr. Jurij Jalaludin; ADUN Manong, Mohd. Zuraimi Razali dan Pegawai Daerah, Ahmad Munir Ishah.

Shahrom berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di MPKK ialah banjir besar yang melanda bandar ini pada September 2014.

Katanya, bencana alam itu memusnahkan banyak kemudahan awam di tepi Sungai Perak dan di kawasan bandar.

“Selain itu, saya tidak boleh melupakan persiapan untuk istiadat Pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mei 2015,” katanya.