Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumahnya di Ulu Chepor sekitar tahun 2009, Mohd. Ismail, 58, akhirnya berjaya membuka kilang sendiri di Pantai Remis.

Perniagaan itu diusahakan bersama rakan kongsi, Ir. Kamarullaffie Ahmad, 50, di bawah syarikat berdaftar Marine Fiber Product.

Menurut Mohd. Ismail, dia mula mempelajari teknik pembuatan bot sewaktu bekerja secara sambilan di sebuah syarikat seorang peniaga Cina di Singapura suatu ketika dulu.

“Pada waktu itu, saya sebenarnya berhijrah ke Johor dan berkhidmat sebagai penyelia tapak di sebuah syarikat pembinaan sekitar tahun 1983.

“Masa awal-awal dahulu, saya memang tiada kesempatan malahan tidak tahu di mana tempat ingin belajar kerana syarikat pembuat bot juga tidak banyak ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, antara kelebihan pembuatan bot fiber ialah ia bersifat lebih ringan, mudah diurus selain senang direka bentuk dan diperbaiki sekiranya pecah.

Katanya, dalam tempoh ma­sa pembuatan sesebuah bot tersebut pula bergantung kepada saiz yang dikehendaki pelanggan. “Bot paling panjang yang hasilkan ialah 30x8 kaki dan paling pendek 8×4.5 kaki dengan harga antara RM1,200 hingga RM45,000.

“Kebanyakannya adalah untuk kegunaan nelayan selain dijual bagi tujuan komersial. Selain itu, Marine Fiber Pro­duct juga menghasilkan produk berkaitan gentian kaca (fiberglass) termasuk tangki ikan dan udang, tangki kimia, table top, chair top dan akuarium,” katanya.

Sementara itu, Kamarullaffie berkata, bot yang dihasilkan oleh Marine Fiber Product antara lain telah diguna pakai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Rekreasi Gunung Lang selain ditempah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk bantuan wakaf bot kepada golongan asnaf.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi hasratnya dan Mohd. Ismail untuk terus memperkembangkan perniagaan serta menarik pelanggan dari luar negeri ini.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Kamarullaffie menerusi talian 012-5225512.